Teman
Sudah semakin jauh kita lewati maya ini
Tanyalah pada diri
Apakah amalan akhirat kita
Sama jauhnya dengan perjalanan ini
Banyakkah bekalan kita
Untuk dipersembahkan kepada Tuhan?
Teman
Ketahuilah bahawa kita
Semakin hampir pada noktah kehidupan
Senja pasti berlabuh
Malam tentu membuka pelabuhannya
Esok pagi datang mengikut ketentuanNya
Begitulah sunnatullah
Yang diatur oleh yang Maha Kuasa
Bersediakah kita menempuh
Malam yang gelap gelita
Tanpa sepalit cahaya buat panduan
Tiada jua simpati dari sesiapa
Melainkan amalan solehmu
Teman
Sedarlah bahawa kita
Pasti pergi jua dari sini meninggalkan semua yang menjadi kesayangan
Membakar tiap kerinduan dan kasih sayang
Pertemuan selalu menjanjikan perpisahan
Hidup kita adalah untuk mati
Dan mati itu datang dengan tiba-tiba
Tanpa menanti sesiapa
Tanpa diberitahu bila dan di mana
Tanpa mengira miskin atau kaya
Tanpa jua mengenal tua mahupun muda
Teman
Segeralah!
Nyalakan iman di dada
Kumpulkan amalan buat penyelamat
Tegakkan ibadah penuh kesungguhan
Jangan cuba menghitung pahala
Hilangkan dosa yang dilakukan
Bersama sisa-sisa usia yang ada

No comments:
Post a Comment