20 January 2011

WAHAI HATI, DENGARLAH


Siapa yang tak mengakui indahnya bunga? Dengan warna yang menarik dan bau yang harum, ia sering menjadi idaman. Kadang-kadang ia juga menjadi perhiasan. Mata yang menilai pula mendapat tafsir tentang keindahan dari akalnya. Akal yang baik dan cerdas adalah akal yang dipandu oleh kasih Allah dan Rasulnya.  Bukankah ini yang dinamakan iman...

Tidak seorang pun yang dapat menafikan, betapa indahnya mega petang. Warnanya yang begitu menawan, memukau setiap mata yang memandang, setiap hati yang terusik dan setiap jiwa yang rindukan kedamaian. Namun, lebih indah lagi sekiranya hati kecilnya berkata: "Mahasuci Allah, tidak engkau jadikan semua ini sia-sia. Mahasuci Engkau ya Allah, lindungilah aku dari api neraka."

Begitu juga dengan keindahan jeram-jeram di kali, dedaunan gugur dihembus angin. Peristiwa-peristiwa sebegini amat meninggalkan kesan kepada hati makhluk yang bergelar insan . Itulah hakikatnya, fitrah jiwa manusia, jiwanya cenderung kepada keindahan dan kecantikan. Biar apapun pangkat dan kedudukannya. Seorang kaya mungkin merasakan bahawa keindahan itu ialah rumahnya yang tersegan indah di atas bukit dan potretnya yang dilukis hebat. Seorang fakir pula mungkin merasakan bahawa keindahan itu adalah dari riak wajah anak-anak kecilnya yang menunggu kepulangannya.

Namun tidak ramai yang mengetahui, tentang wujudnya satu keindahan hakiki…  indahnya ia membuahkan perasaan kasih sayang pada ibu dan ayah. Indahnya ia , melahirkan rasa kasih pada sahabat dan indahnya ia, memandu akal dan jiwa kepada ketenangan, kedamaian, dan kerinduannya kepada kebahagiaan. Itulah tanda kasih dan sayang pada Maha Pencipta dan Maha Pengasih. Itulah tanda kasih dan sayang pada Allah dan Rasulnya.

Hatinya berbisik ; lagi… "Ya Allah, banyaknya nikmat-Mu padaku, tapi ... sedikitnya aku bersyukur, ya Allah , hatiku tahu nafsu jahat itu musuhku, tapi banyaknya jalan-jalannya yang telah aku turuti. Ya Allah, besarnya pengorbanan ayah, tingginya nilai kasih dan mesra ibu, tapi  aduhai,, sedikitnya doaku untuk mereka. Ampunkan, ampunkanlah wahai yang Maha Pengasih"

Marilah kita bersama-sama memiliki keindahan iman ini. Milikilah ia dengan merenung dan memikirkan tentang nikmat-nikmat Allah…. Milikilah ia dengan ilmu yang mendalam, mudah-mudahan dengannya keindahan yang hakiki akan kita perolehi. Tidak seperti keindahan dunia ini yang hanya bersifat sementara…




10 January 2011

RENUNGAN BERSAMA


Nabi Musa adalah satu-satunya Nabi yang boleh bercakap terus dengan Allah S.W.T Setiap kali dia hendak bermunajat, Nabi Musa akan naik ke Bukit Tursina. Di atas bukit itulah dia akan bercakap dengan Allah.Nabi Musa sering bertanya dan Allah akan menjawab pada waktu itu juga. Inilah kelebihannya yang tidak ada pada nabi-nabi lain.
Suatu hari Nabi Musa telah bertanya kepada Allah. "Ya Allah, siapakah orang di syurga nanti yang akan berjiran dengan aku?".
Allah pun menjawab dengan mengatakan nama orang itu, kampung serta tempat tinggalnya. Setelah mendapat jawapan, Nabi Musa turun dari Bukit Tursina dan terus berjalan mengikut tempat yang diberitahu. Setelah beberapa hari di dalam perjalanan akhirnya sampai juga Nabi Musa ke tempat berkenaan.

Dengan pertolongan beberapa orang penduduk di situ, beliau berjaya bertemu dengan orang tersebut. Setelah memberi salam beliau dipersilakan masuk dan duduk di ruang tamu.
Tuan rumah itu tidak melayan Nabi Musa. Dia masuk ke dalam bilik dan melakukan sesuatu di dalam. Sebentar kemudian dia keluar sambil membawa seekor babi betina yang besar. Babi itu didukungnya dengan cermat. Nabi Musa terkejut melihatnya. "Apa hal ini?, kata Nabi Musa berbisik dalam hatinya penuh kehairanan.

Babi itu dibersihkan dan dimandikan dengan baik. Setelah itu babi itu dilap sampai kering serta dipeluk cium kemudian dihantar semula ke dalam bilik. Tidak lama kemudian dia keluar sekali lagi dengan membawa pula seekor babi jantan yang lebih besar. Babi itu juga dimandikan dan dibersihkan. Kemudian dilap hingga kering dan dipeluk serta cium dengan penuh kasih sayang. Babi itu kemudiannya dihantar semula ke bilik.
Selesai kerjanya barulah dia melayan Nabi Musa. "Wahai saudara! Apa agama kamu?". "Aku agama Tauhid", jawab pemuda itu iaitu agama Islam. "Habis, mengapa kamu membela babi? Kita tidak boleh berbuat begitu." Kata Nabi Musa.

"Wahai tuan hamba", kata pemuda itu. "Sebenarnya kedua babi itu adalah ibubapa kandungku. Oleh kerana mereka telah melakukan dosa yang besar, Allah telah menukarkan rupa mereka menjadi babi yang hodohrupanya. Soal dosa mereka dengan Allah itu soal lain. Itu urusannya dengan Allah. Aku sebagai anaknya tetap melaksanakan kewajipanku sebagai anak. Hari-hari aku berbakti kepada kedua ibubapaku sepertimana yang tuan hamba lihat tadi. Walaupun rupa mereka sudah menajdi babi, aku tetap melaksanakan tugasku.", sambungnya.

"Setiap hari aku berdoa kepada Allah agar mereka diampunkan. Aku bermohon supaya Allah menukarkan wajah mereka menjadi manusia yang sebenar, tetapi Allah masih belum memakbulkan lagi.", tambah pemuda itu lagi.
Maka ketika itu juga Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Musa a.s. 'Wahai Musa, inilah orang yang akan berjiran dengan kamu di Syurga nanti, hasil baktinya yang sangat tinggi kepasa kedua ibubapanya. Ibubapanya yang sudah buruk dengan rupa babi pun dia berbakti juga. Oleh itu Kami naikkan maqamnya sebagai anak soleh disisi Kami."

Allah juga berfirman lagi yang bermaksud : "Oleh kerana dia telah berada di maqam anak yang soleh disisi Kami, maka Kami angkat doanya. Tempat kedua ibubapanya yang Kami sediakan di dalam neraka telah Kami pindahkan ke dalam syurga."
Itulah berkat anak yang soleh. Doa anak yang soleh dapat menebus dosa ibubapa yang akan masuk ke dalam neraka pindah ke syurga. Ini juga hendaklah dengan syarat dia berbakti kepada ibubapanya. Walaupun hingga ke peringkat rupa ayah dan ibunya seperti babi. Mudah-mudahan ibubapa kita mendapat tempat yang baik di akhirat kelak.

Walau bagaimana buruk sekali pun perangai kedua ibubapa kita itu bukan urusan kita, urusan kita ialah menjaga mereka dengan penuh kasih sayang sebagaimana mereka menjaga kita sewaktu kecil hingga dewasa.
Walau banyak mana sekali pun dosa yang mereka lakukan, itu juga bukan urusan kita, urusan kita ialah meminta ampun kepada Allah S.W.T supaya kedua ibubapa kita diampuni Allah S.W.T.
Doa anak yang soleh akan membantu kedua ibubapanya mendapat tempat yang baik di akhirat, inilah yang dinanti-nantikan oleh para ibubapa di alam kubur.

"Erti sayang seorang anak kepada ibu dan bapanya bukan melalui hantaran wang ringgit, tetapi sayang seorang anak pada kedua ibubapanya ialah dengan doanya supaya kedua ibubapanya mendapat tempat yang terbaik di sisi Allah."

06 January 2011

SIFAT MALU MENDATANGKAN KEBAIKAN

HADIS:   
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan”.
 
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

HURAIAN

1)  Sifat malu adalah suatu sifat yang terpuji. Sesiapa yang memilikinya akan terlepas    daripada segala kejahatan kerana dengan adanya sifat malu kita tidak akan melakukan segala keburukan.
2)  Sifat malu juga akan meninggikan darjat keimanan orang yang memilikinya.



                    SUMBER: JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

04 January 2011

HAKIKAT KEBIJAKSANAAN

HADIS

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: ”Orang pintar ialah sesiapa yang memuliakan dirinya serta membuat persediaan untuk kehidupan selepas mati, sementara orang bodoh ialah sesiapa yang membiarkan dirinya mengikut hawa nafsu serta mengharapkan cita-citanya dikabulkan oleh Allah.”
 
(Riwayat at-Tirmidzi)

HURAIAN:

1) Kita wajib menghormati sesama manusia termasuk diri sendiri, ibu, bapa, isteri atau suami,   anak-anak, saudara mara, sahabat serta jiran tetangga sama ada dengan berbuat baik, menjaga tutur kata (berbudi bahasa) dan baik hati atau berbaik sangka menurut kemampuan masing-masing.
2) Kematian pasti dihadapi oleh setiap orang sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Setiap yang bernyawa pasti akan mati.” (al-Anbia’: 34). Oleh itu petanda bagi orang yang sentiasa  mengingati mati ia sentiasa memperbanyakkan amal perbuatan yang baik sepanjang hidupnya.
3) Sebaik-baik usaha ialah bermujahadah melawan nafsu dan berusaha memperbaiki diri. Pengekangan nafsu akan menundukkan nafsu agar kita dapat mengawal tingkah laku mengikut  syariat dan ketetapan Islam.
4) Setiap amalan yang baik akan mempengaruhi doa yang dipohon atau dengan perkataan lain Allah S.W.T tidak akan mensia-siakan doa orang yang beriman dan selalu melakukan kebajikan. Begitulah hal yang seb
aliknya.



                     sumber: JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA 

IDOLA TELADAN

HADIS:
 
Dari Anas bin Malik r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bertemu dengan beberapa orang anak lalu baginda memberi salam kepada mereka.” 
 
(MUSLIM)

HURAIAN:


Rasulullah s.a.w adalah manusia sempurna yang kaya dengan sifat-sifat yang terpuji. Justeru, baginda adalah orang yang wajib dicintai dan diteladani melebihi manusia yang lain. Bagindalah idola yang sepatutnya dipuja-puja oleh kita selaku umat Islam, dulu, kini dan selamanya sama ada oleh sesiapa sahaja, golongan remaja, kanak-kanak mahu pun dewasa. Jika kita hidup di zaman baginda, nescaya bagindalah orang terbaik yang sentiasa ingin kita tiru gaya hidupnya, penampilannya sepertimana para remaja kita sekarang yang memuja dan meniru apa sahaja yang dipakai, dibuat, dilakukan atau apa jua yang berkaitan dengan diri orang yang diminatinya. Semuanya baik belaka.Contohnya pandai memikat hati sesiapa sahaja yang melihat atau merasa kehadiran baginda. Manakan tidak, baginda tidak pernah menyakiti hati sesiapa. Ketika bersalaman, baginda tidak melepaskan tangan sehingga yang dijabatnya itu melepaskannya. Rasulullah mengangkat tangan dan memberikan salam apabila melepasi kumpulan kanak-kanak sebagai tanda hormat dan kasih baginda kepada mereka, tidak kurang juga baginda menghormati orang-orang tua, kawan mahupun lawan. Inilah sifat sejati seorang yang pandai menjaga hati peminatnya. Baginda melakukan semua itu bukan untuk menjaga hati orang lain atau pun demi populariti dirinya sendiri sebagai seorang rasul tetapi dilakukan semua itu kerana ingin menjaga maruah Islam yang amat mulia. Baginda bukan menjadi fitnah kepada agama apalagi hingga membawa kesesatan kepada orang yang menyukainya. 
 
Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia